• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kadar Kemajuan Projek ECRL Terengganu Capai 43.96 Peratus

KUALA TERENGGANU, 29 November- Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mencapai kemajuan 43.96 peratus iaitu lebih tinggi daripada kemajuan infrastruktur keseluruhan projek iaitu 35.88 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Ulitili dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, status kemajuan bagi daerah Dungun pula yang melibatkan kerja-kerja fizikal telah siap dibina merangkumi 20 kilometer (km), kerja-kerja tanah, kerja pembinaan bagi dua terowong iaitu di Dungun (871 meter) dan Paka (1107 meter) serta 10 jambatan kereta api.

Katanya, pembinaan stesen Dungun juga dijangka akan bermula pada tahun depan dan kerja-kerja reka bentuk sedang giat dilaksanakan.

"Bagi kerja pelancaran rasuk pula dijangka akan bermula pada hujung suku pertama 2023 manakala, kerja-kerja pembinaan seperti kerja-kerja landasan akan memasuki fasa seterusnya yang dijangka bermula pada penghujung tahun 2023.

"Kajian pelan induk bersepadu ECRL telah mencadangkan Stesen ECRL Dungun memfokuskan pembangunan hub kargo dan
perindustrian selari guna tanah di sekitar kawasan tersebut.

"Selain itu, cadangan pembangunan bagi kawasan sekitar stesen adalah zon komersial seluas 92.52 hektar iaitu komposisi pembangunan bercampur komersial dan industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Menjawab soalan tambahan Alias mengenai tahap kemajuan yang sangat memberangsangkan itu, Dr Mamad berkata, ia disebabkan kerjasama erat pelbagai pihak yang terlibat khususnya Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kerajaan negeri.

"Bagi status kemajuan di Negeri Terengganu pula, pembinaan untuk kerja-kerja struktur seperti jambatan, jejambat dan aktiviti sub gred bagi jajaran atas tanah sudah bermula dengan peratus kemajuan infrastruktur sahaja adalah 43.96 peratus. 

"Selain itu, tiga kem induk juga telah giat beroperasi iaitu di Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman," katanya.

Beliau juga optimis ECRL akan dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2027.

"Panjang jajaran ECRL di Terengganu adalah 231 kilometer bermula dari Jerteh, Besut ke Chukai, Kemaman dengan enam stesen iaitu Jerteh (stesen penumpang), Bandar Permaisuri (stesen penumpang), Kuala Terengganu (stesen penumpang), Dungun (stesen penumpang dan kargo), Kemasik (stesen penumpang) dan Chukai (stesen penumpang dan kargo)," jelasnya.