KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kadar pengangguran di Terengganu mencatat penurunan ketara kepada 3.4 peratus pada suku keempat tahun 2024, berbanding 4.6 peratus dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian itu melepasi sasaran kerajaan negeri untuk mengekalkan kadar pengangguran di bawah paras 3.6 peratus seperti yang ditetapkan dalam perancangan ekonomi negeri.
“Kita sasarkan pengangguran kekal di bawah 3.6 peratus, dan alhamdulillah, pada suku keempat 2024, kadar pengangguran negeri ini berjaya diturunkan kepada 3.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Menurut beliau, penurunan kadar pengangguran tersebut mencerminkan keberkesanan dasar dan inisiatif kerajaan dalam memperkukuh pasaran buruh serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada rakyat.