• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kaedah Tradisional 'Laksa Kebok' Jadi Tarikan Generasi Muda

KEMAMAN, 2 November - Penghasilan laksa kebuk yang menggunakan kaedah lama jadi tarikan dalam kalangan masyarakat setempat di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata ramai yang tidak mengetahui bagaimana laksa gandum atau laksa Terengganu dihasilkan pada zaman dahulu sebelum teknologi moden diwujudkan.

Katanya, berbanding penghasilannya menggunakan mesin, penduduk Kampung Dadong itu masih meneruskan kaedah lama tersebut.

"Bermula daripada penyediaan bahan mentah, makanan tradisi yang semakin pupus itu dihidupkan semula oleh penduduk kampung itu secara bergotong-royong," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Program 'Jom Makan Laksa' di pekarangan Masjid Dadong, Kemaman di sini semalam.

Tambah Mohd Hafiz, warisan itu perlu dijaga dan dikekalkan bukan sahaja hari ini malah di masa akan datang juga.

Beliau berkata, masyarakat perlu diberi pendedahan awal terutama kepada generasi muda supaya mereka tahu bagaimana laksa kebuk dihasilkan.

“Perkara ini juga penting kerana golongan itu akan menyambung segala warisan yang ditinggalkan oleh orang tua," katanya.

Jelasnya, ia perlu diketengahkan supaya dapat dikekalkan dan diteruskan bagi menjadikan pembuatan laksa secara tradisional tidak ditinggalkan begitu sahaja.

"Hal ini kerana, ia mempunyai nilai tersendiri disamping dapat menjadikan suatu tarikan pelancongan yang baru," katanya.

Mengulas lanjut mengenai program, katanya, lebih 100 orang penduduk setempat turun membantu menyempurnakan program dianjurkan itu.

"Menariknya, mereka bergotong-royong dalam menyediakan laksa, menge'cat laksa, kuah lemak dan ulam-ulaman.

"Program tersebut berjalan lancar dengan cuaca yang baik sepanjang penganjuran berlangsung," ujarnya.


Tag: