• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Kajian Polisi Awam Mampu Tingkat Inovasi Pentadbiran

KUALA TERENGGANu, 15 Jun- Kajian polisi awam yang dijalankan oleh institusi-institusi penyelidikan berupaya meningkatkan inovasi pemikiran dan kecekapan penyampaian di peringkat pentadbiran kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik serta selaras dengan kehendak rakyat di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (YDP) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, barisan pentadbir di Terengganu perlu sentiasa peka dan bersedia dengan perubahan yang begitu cepat yang berlaku pada dunia hari ini.

"Kita perlu lebih mesra dengan kajian-kajian atau penemuan baharu yang dijalankan, dalam masa yang sama kita juga mesti proaktif menjalinkan hubungan dengan institusi penyelidikan untuk penambahbaikan yang berterusan.

"Pelaksanaan penyelidikan dan inovasi tidak semestinya kerana ingin menerokai sesuatu yang 'totally new frontier' yang memungkinkan kita untuk menulis dalam jurnal 'nature', tetapi apa yang lebih utama ialah ahli akademik perlu menjalankan penyelidikan untuk memperkaya kajian berbentuk 'policy recommendation' yang sesuai dengan keperluan dan data kerajaan negeri.

"Ia penting supaya pelaksanaan polisi itu mampu menjejak ke bumi dan dirasai impaknya oleh rakyat," katanya.

Jelasnya, atas dasar itu, geran-geran penyelidikan dikeluarkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai penganjur dan pemudah cara bagi kajian-kajian yang akan dibentangkan dalam seminar pada hari ini," katanya.

Yahaya Ali berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan perasmian Seminar Polisi Awam 2022, dianjurkan TSIS bertempat di Duyong Marina & Resort, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Ketua Pegawai TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman.

Sebanyak tujuh daripada 13 kertas kajian yang dijalankan para pengkaji merangkumi pelbagai bidang membabitkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dibentangkan dalam seminar berkenaan.

Universiti Sains Islam Malysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Universiti Teknologi Mara (UITM), dan Institus Perguruan Guru (IPG) turut terlibat yang mana kesemua institusi ini telah memperolehi geran kerajaan negeri melalui TSIS dan berjaya menyelesaikan kajian yang diharap akan memberi impak serta manfaat yang besar kepada rakyat apabila ia dipolisikan di peringkat pentadbiran sehingga kepada masyarakat awam di negeri ini.