• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

'Kali Pertama Dipindahkan Undang Berbagai Rasa'

KUALA TERENGGANU, 24 November – Penempatan seramai 10 buah keluarga yang berjumlah 25 orang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering mendapat reaksi yang pelbagai.

Namun,rata-rata daripada mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut bersyukur dan berterima kasih atas kemudahan asas yang disediakan oleh pihak berkuasa.

Seorang mangsa yang tinggal di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, Maimun Ali, 53 mengatakan perasaannya bercampur baur kerana ini merupakan pengalaman yang pertama kali beliau rasai.


“Rasa teruja ada dan rasa bimbang juga ada kerana kita bimbang dengan keselamatan rumah.

“Tapi, alhamdulillah barang-barang di rumah semua telah diangkat ke tingkat atas dan saudara yang terdekat ada untuk menjaga rumah tersebut,” katanya.

Manakala bagi Tuan Kalsum Abu Bakar, 70 merasa bimbang akan keselamatan keluarga dan rumah yang diitinggalkan.

“Di rumah ada cucu yang tidak berpindah ke sini kerana ingin menjaga rumah dan ada yang tumpang tinggal di rumah saudara yang berdekatan," katanya ketika di temu bual oleh wartawan.

Turut memeberikan respon sama sepasang suami isteri Mohd Harun Awang, 70 dan Ngah Ali, 74 yang berkongsi pengalaman diselamatkan oleh pihak bomba menaiki bot penyelamat.


Sementara itu, pengamal perubatan, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah telah datang ke PPS tersebut bagi menemui mangsa banjir di situ.

Beliau yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, turut menghulurkan sumbangan berupa bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa.