• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kanak-Kanak Didera Berisiko Alami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma

KUALA TERENGGANU, 16 Januari – "Kanak-kanak yang didera berisiko mengalami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD), terbantut perkembangan, kurang keyakinan diri dan bersikap negatif terhadap persekitaran," ujar Zuraida Md Noor.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu berkata kesan penderaan kanak-kanak boleh berpanjangan sekali gus merosakkan perkembangan mental dan fizikal.

Katanya, mereka memerlukan rawatan psikologi untuk pulih dari trauma yang dialami.

"Berita tentang kes penderaan terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa dan keluarga sendiri sering dilaporkan oleh media arus perdana.

“Kajian menunjukkan setakat Ogos 2023, kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak merupakan kes tertinggi dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 1,603 kes," katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambah Zuraida, kanak-kanak wajar diberikan perlindungan dan penjagaan yang betul bagi mengelakkan berlaku kes penderaan.

Menurutnya, faktor yang menjurus kepada penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada institusi keluarga yang bermasalah, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pengetahuan terhadap agama. 

Jelasnya lagi, tidak dinafikan, pasca Covid-19, status kesihatan mental masyarakat semakin membimbangkan. 

“Ditambah lagi, dengan peningkatan kos sara hidup isi rumah membuatkan sesebuah institusi rumahtangga semakin goyah jika tidak mempunyai asas agama yang kuat serta kemahiran mengurus emosi dengan baik. 

"Dalam menangani isu ini, beberapa cadangan perlu diberi perhatian serius dalam mewujudkan Garis Panduan Keluarga Sejahtera di samping latihan dan kursus keibubapaan dipertingkatkan di seluruh negara," ujarnya.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam sesebuah negeri juga boleh memainkan peranan dengan menyentuh tajuk kesejahteraan rumahtangga menurut perspektif Islam melalui khutbah Jumaat dan kuliah-kuliah Dhuha di masjid-masjid. 

Selain itu, pentingnya peranan ibu dalam memberikan perhatian kepada anak-anak walau sesibuk mana pun tugasan di tempat kerja. 

Jelasnya, kanak-kanak merupakan anugerah istimewa dalam sesebuah institusi keluarga malah dan merupakan aset penting buat negara dan masyarakat dalam menentukan corak pembangunan negara pada masa hadapan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: