Jalur Gemilang
Berita :
Karnival Komuniti LRTSB 2026 Meriah, Himpun 800 Penyertaan
Karnival Komuniti LRTSB 2026 Meriah, Himpun 800 Penyertaan
Ridhwan Balian
06 Oct 26
10

KEMAMAN, 6 Oktober – Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (LRTSB) sekali lagi berjaya menganjurkan Karnival Komuniti LRTSB 2026 yang berlangsung dalam suasana meriah dengan penyertaan masyarakat pelbagai peringkat usia.
 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah LRTSB,  Dato’  Wan Sukairi Wan Abdullah berkata penganjuran Karnival Komuniti LRTSB bukan sekadar medan sukan dan rekreasi, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan antara syarikat, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.

“Karnival seperti ini mampu menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat. Sebagai Pengerusi LRTSB, saya amat berbangga melihat sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya.

Pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi komuniti diadakan sepanjang karnival termasuk Larian Komuniti, Pertandingan Memasak antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pertandingan Basikal Lambat bagi kanak-kanak, Pertandingan Mewarna untuk murid sekolah rendah serta Pertandingan Tarik Tali.

Turut hadir ialah ADUN Air Putih merangkap Ahli Lembaga Pengarah LRTSB, Mohd Hafiz Adam, Ketua Eksekutif LRTSB, YM Tuan Che Ku Hafeez Che Ku Denang, barisan pengurusan dan kakitangan LRTSB, pemimpin masyarakat setempat serta wakil pelbagai agensi.

Menurut pihak penganjur, sebanyak 800 penyertaan direkodkan bagi semua kategori yang dipertandingkan, membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat.

Wan Sukairi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja LRTSB, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta para peserta yang bersama-sama menjayakan karnival tersebut.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memupuk semangat perpaduan, mengeratkan silaturahim dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

LRTSB turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dan kerjasama dalam menjayakan Karnival Komuniti LRTSB 2026.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan