• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Karnival Permotoran 'Booster' Ekonomi Penduduk Kota Putera

BESUT, 25 Januari - Bukan untuk suka-suka, sebaliknya penganjuran Karnival Permotoran Pantai Timur yang dianjurkan baru-baru ini merupakan salah satu cara merancakkan ekonomi masyarakat di Kota Putera.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan,Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri mrangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, hal itu menjadi antara objektif Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dalam membantu penduduk di kawasan itu.

“Dari segi menggerakkan ekonomi setempat, kita telah berbincang dengan Pejabat Daerah Besut bagaimana hendak merancakkan ekonomi dan dengan aktiviti penganjuran seperti ini atau lebih lagi.

“Umpamanya dalam program ini, kita dapat penyertaan 300 pengunjung dari luar Terengganu yang akan memenuhi 300 penginapan serta membelanjakan wang di kedai-kedai makan penduduk setempat.

“Ini sekali gus menggerakkan ekonomi setempat yang telah lama beku sebelum ini dan boleh dikatakan ‘booster’ untuk ekonomi kita bagi jangka masa pendek,” katanya.

Selain membuka ruang ekonomi, beliau menyifatkan penganjuran tersebut juga sebagai langkah pihaknya memperkenalkan kembali kawasan-kawasan menarik bagi perkembangan pelancongan yang terdapat di sana.

“Jadi, dengan kedatangan pengunjung ini kita serlahkan kepada mereka tempat-tempat menarik melalui siri konvoi kenderaan klasik yang diadakan,” katanya.

Tambah Mohd Nurkhuzaini, aspek acara hiburan yang diadakan mengikut dasar yang jelas sebagaimana ditetapkan kerajaan negeri.
 
“Kita ada dasar yang jelas. kalau mahu berhibur kita ada dasar hiburan. Kalau mahu bersiar-siar kita ada dasar sosial, jadi mengapa kita tidak pelbagaikan dengan mengikut peraturan yang ada.

“Ini yang kita cuba sebarkan, supaya orang lihat Islam itu kontemporari dan memiliki konteks luas dalam kehidupan kita, sekali gus membetulkan pandangan orang ramai terhadap kecantikan Islam,” katanya.

 


Tag: