Jalur Gemilang
Berita :
Karnival Usahawan Sejahtera Buka Peluang Perniagaan
Karnival Usahawan Sejahtera Buka Peluang Perniagaan
Noraini Jusoh
7 jam yang lepas
29

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Karnival Usahawan Sejahtera 2026 menjadi platform memperkukuh jaringan keusahawanan selain membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan menerusi kerjasama strategik yang terjalin.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, penganjuran karnival yang menghimpunkan 75 usahawan, 10 agensi kerajaan, sembilan rakan strategik serta komuniti setempat itu telah mengembangkan jaringan perniagaan di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.

“Pertemuan dan interaksi sepanjang karnival ini diharapkan menjadi permulaan kepada hubungan perniagaan yang lebih luas, perkongsian kepakaran, penerokaan pasaran serta kerjasama antara syarikat dan usahawan.

“Kita berharap jaringan yang terjalin ini dapat membuka ruang kepada aktiviti ekonomi baharu di Terengganu, termasuk peluang perdagangan, pelaburan, pemasaran produk tempatan dan usaha sama dalam bidang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Sejahtera 2026 anjuran Kelab Usahawan Haraki Malaysia (Ku-Haraki) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu yang diadakan di YPU di sini, hari ini.

Menurutnya, hubungan yang terjalin sepanjang karnival tidak seharusnya terhenti selepas program berakhir sebaliknya perlu diteruskan melalui tindakan susulan yang terancang dan komitmen berterusan.

Katanya, Ku-Haraki dan rakan strategik digalakkan meneruskan kerjasama menerusi perkongsian maklumat pasaran, bimbingan serta promosi bersama bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan.

“Usahawan yang telah berkenalan dan bertukar pandangan sepanjang program ini digalakkan mengambil langkah susulan dengan mengenal pasti bidang kerjasama dan menyusun tindakan yang boleh dilaksanakan.

“Hubungan yang dipupuk dengan baik berpotensi berkembang menjadi kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru usahawan Terengganu supaya terus meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan, memperkukuh penjenamaan serta memahami kehendak pelanggan bagi kekal berdaya saing.

Beliau turut menggalakkan usahawan memanfaatkan teknologi dan saluran digital, selain meningkatkan keupayaan untuk belajar, menyesuaikan diri dan bekerjasama dalam menghadapi perubahan persekitaran perniagaan.

“Marilah kita membina ekosistem keusahawanan yang saling menyokong. Kejayaan seorang usahawan boleh membuka peluang kepada usahawan lain, mewujudkan pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan