• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kasih Anak Penguat Jiwa Fatimah


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 8 Ogos - Kasih sayang dari anak-anak menjadi sumber kekuatan Fatimah Abu Bakar, 60, yang menghidap masalah saraf sejak lima tahun lalu untuk terus tabah menjalani hidup.

Warga emas dari Kampung Pak Katak itu dijaga oleh salah seorang anaknya, Susilawati Ali, 36, berikutan dirinya tidak lagi mampu berjalan.

Menurut suaminya, Ali Omar, 64, Susilawati akan menguruskan segala aspek dan kehidupan seharian ibunya itu seperti mandi, makan dan minum akibat keuzuran Fatimah yang tidak dapat menguruskan dirinya tanpa bantuan.

“Saya dan ahli keluarga yang lain juga sering membantu menguruskan isteri saya terutama apabila hendak memandikannya kerana perlukan bantuan ramai untuk mengangkatnya ke bilik air,” katanya yang berkerja sebagai tukang sapu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Sememangnya tugasan itu bukanlah mudah bagi seorang anak lebih-lebih lagi seorang wanita, namun kasih dan tanggungjawab menguatkan sendi-sendi ibu kepada dua orang anak masing-masing berusia lima tahun dan setahun itu untuk berbakti kepada orang tuanya.

Anak ketiga dari anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu tinggal bersama Fatimah dan suami serta merupakan anak yang ditugaskan menjaga ibunya sepenuh masa.

“Ibu tidak mampu berjalan lagi sejak ditimpa penyakit ini lima tahun lalu, jadi saya dan keluarga bersama-sama membantu urusan sehariannya,” katanya ketika menerima kunjungan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN), di rumahnya, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafii bersama anggota PKAPKN turut beramah mesra bersama keluarga Fatimah disamping menyampaikan barangan keperluan dan wang tunai bagi membantu mengurangkan beban mereka.

Turut hadir, Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dewan Undangan Negeri (DUN)  Bukit Tunggal, Wan Mohd Fauzi Wan Harun dan ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pak Katak.


Tag: