• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kawasan Industri Terengganu Dikembali Kepada PMINT

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri mengembalikan tanggungjawab membangun dan menguruskan kawasan industri negeri kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sebagaimana keputusan yang telah dipersetujui pada 29 Julai 2020 yang lalu.

Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sebelumnya tanggungjawab tersebut dikendalikan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan akan diserahkan kepada PMINT secara berperingkat.

"Sebagai permulaan, PMINT bakal memiliki tanah industri yang masih milikan kerajaan yang mana masih belum ditawarkan kepada mana-mana pelabur. 

"Berdasarkan rekod, negeri Terengganu mempunyai 25 kawasan perindustrian yang telah dizonkan melibatkan lapan daerah," katanya pada satu sidang media sempena Majlis Penyerahan Pembangunan dan Pengurusan Kawasan Industri Negeri Terengganu Kepada PMINT di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Tanah Dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengarah UPEN, Samiun Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.

Mengulas lanjut, menurut Tengku Hassan, PMINT selaku agensi di bawah kerajaan negeri akan memastikan tanah industri yang diberikan itu dibangunkan sepenuhnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan sebagaimana yang dirancang.

Tambahnya, dalam masa yang sama pihaknya juga sedang melakukan pemutihan dan akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut.