• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kawasan Pendaratan Tuntung Jadi Pusat Pelancongan Komuniti

HULU TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan kawasan pendaratan tuntung di Kampung Temir sebagai pusat pelancongan berteraskan komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa pelancongan Kebudayaan dan Teknologi negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai pengunjung datang ke negeri ini apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan. 

Katanya, usaha itu juga diyakini mampu memelihara spesies haiwan yang kian pupus terbabit.

"Kalau dahulu di Rantau abang ada tempat penyu bertelur yang mana sekarang ini masih ada tapi bilangannya sedikit sangat.

"Sebenarnya pelancong sama ada dari luar atau dalam negeri kita sendiri pun ada yang tidak pernah kenal tuntung, maka ia dijadikan 'edutourism', memberi pendidikan kepada seluruh masyarakat, sama ada anak-anak, pelajar-pelajar untuk mengenali tuntung ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada UPDI ketika mengadakan lawatan ke Kampung Temir bagi aktiviti melihat tuntung bertelur dan aktiviti konservasi, di daerah ini, semalam.

Ariffin berkata, usaha yang dilakukan Jabatan Pelancongan negeri itu melibatkan kerjasama  Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara, Persatuan pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Usaha yang dilakukan ini juga adalah untuk memberi manfaat dan kesedaran kepada masyarakat agar tidak berlaku sebarang pencemaran yang boleh merosakkan khazanah alam semula jadi terutama di kawasan pasir Temir ini.

"Dalam mesyuarat exco bulan lepas banyak permohonan-permohonan pasir yang  dibuat telah ditolak oleh kerajaan dalam usaha pemeliharaan tuntung dimana dalam radius 4 kilometer di kawasan ini, kita tidak dibenarkan aktiviti pengorekan pasir.

"Kerana kita bimbang aktiviti ini jika diteruskan boleh menjejaskan jangka hayat tuntung ataupun kita tak dapat melihat lagi apa yang kita lihat sekarang ini. Ini yang menjadi kesungguhan kerajaan negeri dalam hal ini," katanya.

Selain itu sebarang aktiviti memancing, menjala atau yang boleh mengganggu habitat berkenaan terutama pada Februari hingga Mei setiap tahun di waktu tempoh haiwan itu bertelur di kawasan berkenaan adalah dilarang.

"Ini bertepatan dengan Akta Hidupan Liar 2010 yang melarang mana-mana pihak untuk menangkap, memakan menjual tuntung dan telurnya.

"Pada tahun 2021 sebanyak 50 ekor telah direkodkan setakat 13 Februari 2021. Purata kutipan telur di kawasan Pasir Temir ini pada tahun 2021 sebanyak 500 biji yang mana telur ini telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Tuntung Bukit Paluh untuk proses pengeraman selama 85 hari sehingga proses penetasan tuntung," ujarnya.

Katanya lagi, kawasan tuntung bertelur tersebut bukan merupakan produk baru tetapi ia kembali digilap bagi menyesuaikannya mengikut perkembangan produk pelancongan kontemporari pada waktu ini.

 


Tag: