• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Keadaan Terengganu Tenang, Tiada Pergolakan Politik' - Polis

HULU TERENGGANU, 9 Jun - Polis hari ini mengesahkan bahawa keadaan politik di Terengganu berada dalam keadaan tenang sekali gus menafikan dakwaan yang tular semalam berkait perubahan Menteri Besar.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa berkata, tiada bukti dan sumber kukuh yang boleh mengesahkan berlaku masalah perkara terbabit.

Katanya, sehubungan dengan itu orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau berkongsi maklumat tidak sahih di media sosial.

"Tindakan tegas dari segi undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang terlibat dengan berita palsu sebegini.

"Dan saya nasihatkan masyarakat agar tidak memviralkan isu sensitif yang boleh menjejaskan ketenangan negeri," ujarnya ketika ditemui dalam lawatan ke lokasi Sekatan Jalan Raya di Kampung Kuala Kejir, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan sebuah portal berita berhubung kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa dalam situasi genting ketika ini. 

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana.

Laporan portal itu antara lain mendakwa Ahmad Samsuri hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS selain wujud usaha-usaha menjatuhkan beliau daripada seorang Ahli Parlimen parti berkenaan.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan selepas laporan polis lain turut dibuat oleh wakil-wakil rakyat daripada PAS dan penegasan Yang Dipertua PAS Kawasan melalui satu kenyataan hari ini.


Tag: