• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kebajikan Imam Dan Bilal Terus Dijaga

KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan imam dan bilal di negeri ini terjaga.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha bagi memberikan peruntukan 'one off' kepada imam ke-3 memandangkan peruntukan daripada JAKIM hanyalah kepada  imam 1 dan imam 2 sahaja.

"Kita juga sedang mengkaji untuk memberikan kenaikan imbuhan dan elaun imam bilal yang tiada pendapatan tetap dan juga kemudahan-kemudahan lain yang boleh dipertimbangkan. 

"Di samping itu, turut dilaksanakan juga program Tahsin Pegawai Masjid bagi memastikan imam dan bilal dapat menambahbaik mutu bacaan dan tugas masing-masing, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan meneruskan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf masjid-masjid sedia ada di seluruh negeri. 

"Pembinaan masjid negeri yang baharu berkonsepkan 'smart township mosque' juga akan dilaksanakan kerja-kerja awal pembinaan dan bakal menjadi pusat bagi Bandar Baru Bukit Besar," ujarnya.