• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kebangkitan Islam Buat Zionis Tergamam

MARANG, 13 Oktober - Kebangkitan semula Islam di seluruh dunia membuat golongan Zionis tergamam.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, musuh Islam gagal melekakan umat Islam dengan khutbah-khutbah yang diatur sehingga mimbar masjid-masjid di Mekah dan Madinah juga dipergunakan.

"Para imam dan ulama yang tidak patuh dengan arahan akan disekat atau ditahan, sebahagian daripada mereka hari ini masih meringkuk dalam tahanan.

"Maka, isu Islamofobia (keganasan) diuar-uarkan oleh puak Zionis. 

“Gerakan Hamas dan Tanzim Jihad dijadikan sasaran utama untuk dihapuskan, apabila kedua-dua kumpulan itu disenaraikan sebagai pengganas.

“Walau bagaimanapun, usaha itu tetap menemui kegagalan juga," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Abdul Hadi, mereka tidak mampu melawan realiti yang menunjukkan bahawa pengaruh gerakan Hamas dan Tanzim Jihad semakin kuat.  

Tambahnya, kebangkitan kuasa baru dunia melalui Iran, kemudiannya diikuti oleh Turki gagal dikepung oleh Amerika Syarikat. 

Pada masa yang sama, mereka juga sedang menghadapi blok Rusia dan China yang telah ditangani secara bodoh oleh Presiden AS sebelum ini, Donald Trump dengan keadaan yang demikian telah menyulitkan mereka.  

“Antara perkara yang mereka paling gagal ialah usaha untuk menutup keganasan yang dilakukan oleh Israel, laksana menutup bangkai gajah dengan tapak tangan dan baunya yang busuk. 

"Allah SWT telah menyatakan dalam al-Quran betapa dahsyat keganasan bangsa Yahudi. 

"Hal tersebut tidak boleh ditamatkan dengan menerima penyelesaian dua negara dan penyelesaian seumpama itu," jelasnya.

Beliau berkata, sehingga ada pula yang terpaksa melakukan normalisasi secara terbuka dan mengadakan hubungan sulit dengan Zionis Yahudi. Firman Allah SWT: 

“Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan Kitab Taurat kepada Musa, dan kami susuli selepas itu dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi ‘Isa, putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul Qudus (Jibril). 

"Maka patutkah, setiap kali datang kepada kalian seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kalian, kalian (dengan) sombong takbur (menolaknya).

"Sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kalian dustakan, dan sebahagian yang lain pula kalian bunuh?” [Surah al-Baqarah: 87]

"Keputusan yang datang daripada Allah SWT dan para Rasul juga mereka boleh koyak dan pijak, walhal mereka telah diberikan beberapa kali kemenangan melalui mukjizat para nabi, namun perkara itu langsung tidak dikenang," ujarnya.

Maka jelasnya, negara kuasa besar yang mereka tentukan perjalanan kerajaannya, begitu juga PBB dan pelbagai pertubuhan antarabangsa semuanya berada di bawah telunjuk Zionis.  

"Oleh itu, penyelesaian dua negara sebenarnya ditolak mentah-mentah oleh Israel sendiri dengan tindakan yang paling ganas dengan mengizinkan pendatang yang dilatih ketenteraan mengganas dan merampas rumah kediaman, perniagaan, kebun dan lain-lain milik rakyat Palestin. 

Namun begitu, rakyat Palestin tetap bangkit menentang Israel dengan tangan kosong,” ujarnya.

 

 


Tag: