Berita :
Kebersihan Cerminan Imej Pelancongan Terengganu – Pemangku Raja
Kebersihan Cerminan Imej Pelancongan Terengganu – Pemangku Raja
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
129

KUALA TERENGGANU, 20 April – Sektor pelancongan terus menjadi penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi negeri dengan keindahan pantai, pulau serta warisan budaya menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027, pelbagai aspek termasuk tarikan kebudayaan, ekopelancongan dan kemudahan penginapan perlu diperkasakan bagi meningkatkan daya saing negeri.

Menurut baginda, selain memperkukuh produk pelancongan, aspek kebersihan juga perlu diberi perhatian serius kerana ia mencerminkan imej negeri dalam ekosistem pelancongan.

“Pengurusan sampah perlu dilaksanakan secara cekap dan berkesan agar Terengganu terus dikenali sebagai negeri yang mengutamakan kebersihan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini hari ini.

Baginda turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri membelanjakan hampir RM130 juta setiap tahun bagi kerja-kerja pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal.

Namun, menurut baginda, perbelanjaan tersebut berpotensi dikurangkan sekiranya semua pihak memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran.

“Justeru, Beta mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil inisiatif sewajarnya untuk membudayakan mentaliti persekitaran bersih dalam kalangan rakyat,” titah baginda.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan