• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Keindahan Pantai 'Musnah' Di Tangan Manusia

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija menyeru kepada orang ramai untuk bekerjasama dalam memastikan pantai-pantai di Terengganu terus bersih, selamat dan cantik untuk dilawati.

Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Dr Mohd Ariff Hafizi Fouzi berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan 11 program kutipan sampah di pantai-pantai sekitar Terengganu sejak awal tahun ini.

“Sejak diasaskan pada tahun 2018, Geng Plastik Ija telah mengadakan pelbagai program serentak di Kerteh, Dungun, Kuala Terengganu dan Besut.

“Contohnya seperti program diadakan di Pantai Kuala Ibai bermula dari Ibai Beach Guesthouse sehingga belakang SMK Sultan Sulaiman (SMKSS) dengan hasil kutipan mencecah 340kg.

“Program hari ini (kelmarin) turut disertai pegawai-pegawai daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), guru-guru, ibu bapa serta pelajar SMKSS,” katanya ketika ditemu bual pemberita.

Tambahnya, hasil kutipan sampah dijalankan oleh pihaknya mendapati terdapat bahan buangan kategori berbahaya dijumpai seperti picagari, serpihan kaca, besi, dawai dan paku.

Sementara itu, wakil daripada KBS, Nurul Afifa Sofina Azmi menjelaskan, pihaknya berharap golongan belia lebih melibatkan diri dalam usaha-usaha murni seperti dijalankan NGO tersebut.

“Kita turut menggalakkan golongan belia agar menyertai NGO-NGO dan kelab-kelab yang menjurus kepada penjagaan alam sekitar seperti geng plastik ija dan kelab rakan muda,” katanya.

 


Tag: