KUALA NERUS, 8 Disember – Para graduan Kolej Quran Terengganu (KQT) diingatkan bahawa kejayaan akademik yang diraikan hari ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada perjalanan ilmu dan amanah baharu,
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, pengajian formal yang diselesaikan di KQT hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan ilmu sebenar.
“Sijil, diploma atau ijazah ini bukan noktah. Ia pintu besar kepada perjalanan baharu yang memerlukan anda terus belajar, terus berkembang dan terus memperkukuh diri,” katanya.
Beliau menekankan bahawa ilmu hanya memberi kesan apabila diamalkan dan dimanfaatkan untuk masyarakat.
“Ilmu bertambah apabila dicari, terpuji apabila diamalkan dan memberi makna apabila dimanfaatkan. Kita mahu lahirkan graduan yang bukan sekadar ada kelulusan, tetapi insan yang membawa nilai, adab dan hikmah al-Quran dalam kehidupan,” ujarnya.
Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan graduan Diploma, Sijil Kulliyyah Al-Furqan dan Sijil Seni Kraf Warisan menerima pengiktirafan atas komitmen dan ketekunan mereka menuntut ilmu.
Beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, pensyarah dan para asatizah yang memainkan peranan besar dalam membentuk karakter serta memperkukuh hafazan pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Menurutnya, Kerajaan Negeri komited memperkukuh ekosistem pendidikan, termasuk memperkasakan KQT bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak.
“Pelaburan modal insan ini adalah pelaburan jangka panjang untuk negeri dan masyarakat. Kita mahu lahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga beradab dan mampu membawa nilai al-Quran ke tengah masyarakat,” jelasnya.
Beliau menutup ucapan dengan menyeru graduan agar memanfaatkan ilmu untuk kebaikan, terus belajar dan tidak berhenti menambah nilai diri.
“Dunia sentiasa berubah. Masa depan digenggam oleh mereka yang tidak berhenti memperkukuh diri. Hari ini bukan sekadar hari kejayaan, tetapi hari amanah,” katanya.