• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kejayaan Pelajar, Guru Perkasa Pendidikan Negeri

KUALA TERENGGANU, 7 September - Kejayaan para pelajar dalam setiap peringkat pelajaran mampu memperkasa pendidikan negeri sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis yang berwibawa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, 248 pelajar dan 53 guru yang menerima anugerah kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2019 hari ini adalah antara generasi pelapis terbabit.

"Kejayaan ini memartabatkan lagi sektor pendidikan sekolah menengah agama negeri yang telah wujud dalam separuh abad.

"Dalam tempoh tersebut, sekolah menengah agama di Terengganu turut melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang bukan sahaja dalam bidang keagamaan.

"Majlis hari ini juga adalah sebagai pengiktirafan kepada semua yang cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed serta Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad

Dalam majlis tersebut, Satiful turut menyampaikan Anugerah Khas Exco Pendidikan kepada empat pelajar STAM yang mencapai Mumtaz Sofi iaitu Imran Sulaiman, Muhammad Aniq Fahmi Kauzi, Ahmad Luqmanul Hakim Ahmad Amzad dan Ahmad Iqbal Maliki.


Tag: