Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA NERUS, 4 November - Kerajaan negeri bakal memberikan insentif khas buat Qabil Irfan Azlan, 11 yang dinobatkan sebagai juara dunia FIM MiniGP World Series 160cc 2023, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia merupakan satu penghargaan kepada usaha keras pelumba cilik berkenaan dalam mengatasi saingan peringkat antarabangsa pada perlumbaan yang berlangsung di Valencia, Sepanyol itu.
"Kita sangat berbangga dengan pencapaian adik Qabil, baru baru ini.
"Oleh kerana jadi juara, negeri bersetuju memberi insentif khas yang akan diumumkan dan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sewaktu menyambut ketibaan Qabil, semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berharap Qabil dan lima lagi pelumba cilik kelahiran Terengganu akan akan mencetak nama di peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, Qabil yang tiba dari Kuala Lumpur melahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut.
"Saya tidak sangka saya boleh buat sebab sebelum itu saya duduk di belakang.
"Sebelum ini, saya cuma menyasarkan masuk peringkat akhir dan tidak sangka jadi juara.
"Terima kasih ibu ayah dan semua yang sokong saya, saya akan cuba naik kategori dan berlatih yang terbaik lagi," katanya.
Bapanya, Azlan Abdul Rahman,47 pula menyifatkan kejayaan yang dikecapi amat bermakna.
"Keadaan cuaca ketika itu agak sejuk di mana Qabil berlumba dalam suhu enam darjah celcius dan keadaan litar yang masih basah.
"Untuk perancangan tahun depan, mungkin Qabil akan main pada kategori 190cc. Tetapi segalanya akan ditentukan oleh Zulfahmi Khairuddin, iaitu pihak ZK Racing yang mengelola latihan dan perlumbaan Qabil," katanya.
Musim ini merupakan musim kedua Qabil bersaing di MiniGP World Series selepas menduduki tempat keempat keseluruhan pada tahun lalu.