• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi

KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kekal dengan keputusan hanya satu sesi solat Jumaat diadakan, termasuk di Wilayah Persekutuan.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berikutan itu, jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dalam ruang yang lebih besar.

"Ini termasuk ruang tepi masjid dan kawasan yang sesuai dengan SOP (prosedur operasi standard) penjarakan sosial. Kalau ada khemah yang disediakan oleh pihak masjid jemaah boleh solat di situ dengan bawa sejadah dan patuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada pentadbiran agama negeri. Saya difahamkan setakat ini seluruh negeri menjalankan keputusan satu sesi solat Jumaat sahaja," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Program YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) Peduli : Pasca Musa'adah Covid-19 Warga Nelayan Terengganu di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini hari ini.

Melalui program itu, seramai kira-kira 120 orang nelayan yang terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menerima sumbangan 'food basket' daripada YADIM.

Kesemua mereka turut menerima bantuan berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Zulkifli termasuk sumbangan berjumlah RM10,000 kepada seorang warga nelayan yang menghadapi musibah kebakaran rumah baru-baru ini.

Beliau memuji usaha YADIM menyantuni para nelayan sebagaimana tema YADIM Peduli dan mengharapkan agar bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka, sekurang-kurangnya untuk meneruskan kehidupan dengan sebaiknya.

Hadir sama dalam program tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun, Yang Dipertua (YDP) YADIM, Nasruddin Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang.

Nasruddin Hassan.

Sementara itu, menurut Nasruddin Hassan, YADIM bertindak sebagai agensi prihatin dan bertanggungjawab menggerakkan aktiviti dakwah bahkan kebajikan.

"Itulah hasrat kita untuk meringankan beban mereka. Malah nelayan juga adalah 'frontliner' yang membawa pulang sumber bekalan hasil laut ke tanah besar bagi keperluan 'food security' kepada kita umumnya," ujarnya yang dilantik sebagai YDP yang baharu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz, baru-baru ini.

Untuk rekod, sebanyak kira-kira RM80,000 diperuntukkan YADIM bagi membantu 1,000 nelayan di 10 kawasan di Terengganu.


Tag: