• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kelantan Tumpu Agenda Membangun Bersama Islam


KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan Negeri Kelantan memberi tumpuan terhadap banyak perkara bagi meneruskan hasrat Membangun Bersama Islam.

Menteri besarnya, Dato’ Haji Ahmad Yakob berkata, dasar tersebut dapat dihayati oleh rakyat sehingga memberikan mandat kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, pelbagai program dan janji manifesto telah dikemukakan kepada rakyat sebagaimana parti politik lain.

“Baru-baru ini kita telah ada satu perbincangan khusus  di kalangan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan juga para pegawai kita telah memutuskan  dalam jangka setahun akan datang  kita memberi fokus  kepada tiga perkara penting.

“Dan  tindakan ini secara bersepadu  di kalangan semua portfolio, iaitu pertama sekali ialah kita berikhtiar untuk membanyakkan lagi peluang kepada rakyat khususnya dalam sektor  perindustrian dan juga  berasaskan kepada  sumber asli,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual yang disiarkan secara langsung oleh Manis FM di kontinya di Kota Bharu semalam, 14 November.

Oleh itu katanya, Negeri Kelantan mempunyai sumber asli yang banyak seperti batu bata dan sumber minyak.

“Kita insya-Allah akan memberi penekanan kepada industri (yang) berasaskan sumber asli untuk sekurang-kurangnya sebagai satu hiliran. Sekarang contohnya kita telah bersetuju untuk meluluskan kilang simen oleh syarikat ATM  dan dijangka 2019 akan mula dibina kilangnya.

“Dan (kilang tersebut) akan beroperasi  pada 2021 dengan kapasiti kita boleh menambah peluang pekerjaan sebanyak  966 orang insya-Allah dengan syarat 50% adalah asal kakitangan ataupun pekerjaan daripada orang Gua Musang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengutamakan pendidikan dan pembinaan modal insan.

Oleh sebab itu, setiap tahun pihak kerajaan memperuntukkan peruntukkan  yang agak besar dari segi pendidikan untuk Yayasan Islam Kelantan juga.

“Insya-Allah kita akan meningkatkan lagi usaha kita dengan dua skim termasuk  guru sandaran dan guru.

“Ada banyak guru ganti, guru sementara, jadi kita buat supaya lebih baik lagi,” tambah beliau.










Tag: