• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Keluarga Ahmad Afif Terharu Terima Rumah Baharu

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 21 Jun- Keluarga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran terharu apabila menerima bantuan rumah baharu selepas rumah tempat mereka berteduh sebelum ini musnah dalam kebakaran Oktober lalu.

Ayah pelumba yang merupakan penyandang juara CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Amran Ngah, 53, melahirkan kesyukurannya kerana rumah sumbangan kerajaan Negeri Terengganu menerusi Tabung Darul Iman itu membolehkan mereka sekeluarga tinggal di rumah baharu yang lebih selesa.

"Alhamdulillah, kini kami dapat tinggal di rumah sendiri selepas rumah kami musnah dalam kebakaran pada Oktober tahun lepas," katanya yang menumpang di rumah sewa ibunya selepas rumahnya terbakar.

Amran ditemui pemberita selepas majlis gimik penyerahan rumah tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Kampung Paya, Balai Besar, baru-baru ini.

Sementara itu, ibu Ahmad Afif, Zaiton Ramli, 47 berpuas hati dengan rumah tiga bilik itu.

"Masa dalam pembinaan dulu memang teruja dengan rumah ni, memang tak sangka dapat rumah macam ni, berpuas hatilah," ujar ibu kepada lima orang anak itu.

Sebelum itu, Alias berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan Negeri Terengganu yang menyegerakan pembinaan rumah yang bernilai RM56,000 itu.

"Rumah ini telah siap pada bulan Mac lepas, tetapi memandangkan masa itu, kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi penyerahan kunci agak tergendala, jadi alhamdulillah sekarang dah dapat kunci dan sijil menduduki," jelasnya.


Tag: