• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Keluhan Peniaga Pasar Tani Kuala Besut Diberi Perhatian

Oleh : Mustaqim Afandi

Besut,19 Julai- Keluhan dan rungutan peniaga Pasar Tani Kuala Besut berkaitan kekurangan tapak niaga di pasar berkenaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa mendapat perhatian kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, masalah peniaga terbabit akan diselesaikan sebaik mungkin.

Katanya,  isu segelintir peniaga yang kurang berpuashati terhadap perlaksanaan SOP dalam tempoh PKPP sekarang dalam pertimbangan pihaknya.

“Masalah ini bukan hanya melibatkan peniaga dari Kelantan sahaja malah peniaga tempatan juga turut terkesan.

'Ini kerana jumlah peniaga sebelum ini lebih daripada 500 peniaga dan apabila PKPP dilaksanakan hanya 153 peniaga sahaja yang mendapat kebenaran berniaga dari pihak Majlis Daerah Besut (MDB),” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Tani Kuala Besut, kelmarin. 

Katanya, selepas perbincangan beliau bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda, keputusan ‘win-win situation’ telah dicapai dengan tambahan lot tapak niaga dan sebahagian peniaga dari Kelantan pula telah diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan. 

Mengulas lanjut, keputusan untuk mengurangkan jumlah peniaga sebelum ini terpaksa dilakukan pihak MDB berikutan keterbatasan tempat apabila penjarakan sosial dalam kepatuhan norma baharu perniagaan dilaksanakan kerajaan.

"Diharap semua peniaga dapat menerima dan berlapang dada dengan keputusan ini. Kepada peniaga yang tidak berjaya mendapat tapak diharap terus bersabar dan berdoa agar wabak COVID-19 cepat berlalu dan tempoh PKPP dapat di tamatkan segera dan peniaga boleh berniaga seperti biasa,” ujarnya.


Tag: