• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Kemaman Kunci Pintu Laluan Terengganu Baharu

KEMAMAN, 26 November – Daerah Kemaman diibaratkan sebagai kunci bagi pintu laluan untuk membina Terengganu baharu.

Calon PAS Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata hasrat tersebut bertujuan untuk mencapai lebih lagi dari apa yang dicapai sebelumnya.

Katanya, Kemaman merupakan daerah di negeri Terengganu yang berada di hadapan dari segi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Hasilnya dapat dilihat melalui fasiliti-fasiliti, operasi-operasi syarikat yang ada dalam daerah berkenaan lebih banyak dari daerah lain.

“Seperti Pelabuhan Kemaman, ‘Petro Chemical’, ‘Bioteknologi’ dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika program sembang santai ‘Orang Kemaman Dr Sam Nok Juppe’ bertempat di Kemaman Arena Square di sini baru-baru ini.

Tambah Ahmad Samsuri, tidak cukup dengan pencapaian itu, nanti akan ada stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi merancakkan lagi ekonomi di daerah itu.

"Perkara ini perlu disusun dengan baik supaya menjadikan Terengganu lebih maju ke hadapan.

"Di sinilah kuncinya untuk membina Kemaman maju berkat dan sejahtera dan bermula dari daerah ini kita akan sebarkan manfaat ke seluruh negeri Terengganu," ujarnya.