• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kemasukan Pelajar Ditangguh, UMT Sedia Kemudahan Bagi Pelajar Terkandas

KUALA NERUS, 4 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan sedia ada, Sesi 2020/2021 ke kampus pada 3 sehingga 8 Oktober untuk mengelakkan penularan COVID-19.

Naib Canselor universiti itu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata, langkah berkenaan selaras dengan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar-pelajar baharu pada 2 Oktober lalu.

“Dengan pendaftaran jumlah pelajar baharu seramai 2,480 pelajar, Minggu Jalinan Mesra (MJM) serta Majlis Ikrar Pelajar Baharu telah berjaya dilaksanakan pada akhir bulan September secara maya yang dihadiri oleh lebih daripada 2,000 pelajar, Dekan-dekan dan Pegawai-pegawai Utama UMT.

“Pada masa sekarang, UMT telah menerima sebanyak 12 orang pelajar yang telah mendaftar di Kolej Kediaman UMT dan daripada jumlah tersebut, dua orang pelajar telah memilih untuk tinggal di Kolej Kediaman. Manakala seramai 623 pelajar dalam kalangan pelajar Asasi STEM, Diploma, pelajar antarabangsa dan pemimpin pelajar masih berada di kolej kediaman," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Tambahnya, pihak universiti turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi semua program pengajian akan bermula pada 11 Oktober hingga 31 Disember 2020.

"UMT dengan kerjasama Yayasan YTL telah menyediakan inisiatif pelan data secara percuma kepada semua pelajar baharu dan bantuan tambahan kepada 300 pelajar lain yang tiada kemudahan peralatan pembelajaran secara maya,” ulasnya.

Bercakap mengenai kebajikan pelajar, Dr Nor Aieni berkata, UMT turut menyokong usaha KPT dalam berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan berkenaan penjadualan semula tiket penerbangan serta tiket bas bagi pelajar yang terkesan daripada penangguhan itu.

“Selain itu, kemudahan cafeteria dan koperasi untuk pembelian makanan dan keperluan harian disediakan bagi pelajar yang berada di kampus.

“Usaha lain seperti peruntukan RM0.667 juta untuk kebajikan pelajar golongan B40 dan golongan asnaf juga akan disalurkan dalam masa terdekat. Tambahan lagi, talian khidmat kaunseling untuk kesihatan emosi pelajar turut dibuka,” katanya.