lightning-solid
Berita :
Kementerian Komunikasi Perkukuh Usaha Tangani Insiden Jalur Gemilang Terbalik
Kementerian Komunikasi Perkukuh Usaha Tangani Insiden Jalur Gemilang Terbalik
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
09 Nov 25
339

KUALA LUMPUR, 9 November – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menimbulkan persoalan di Dewan Rakyat mengenai insiden-insiden yang mencemar nilai kenegaraan seperti pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik dan penghapusan lambang bulan sabit pada bendera negara. 

Menurut beliau, kejadian seumpama ini sedikit sebanyak memberi gambaran negatif kepada masyarakat, khususnya generasi muda yang dilihat semakin jauh daripada penghayatan simbol-simbol kebangsaan. 

Wan Hassan turut meminta penjelasan mengenai langkah konkrit dan jaminan kerajaan dalam memastikan insiden sedemikian tidak berulang serta usaha mengembalikan semangat patriotik rakyat.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa isu kesilapan pemasangan atau penghasilan imej Jalur Gemilang yang tidak tepat kini berlaku merentasi pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang politik. 

"Sebahagian daripada kesilapan itu berpunca daripada penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan bahan visual tanpa semakan yang teliti terhadap susunan jalur, bilangan bintang dan bentuk lambang pada bendera."

“Ini adalah satu bentuk kecuaian yang perlu diperbaiki bersama. Namun, kita harus menghargai niat dan semangat masyarakat yang masih mahu mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta terhadap negara,” ujar Fahmi.

IMG-20251109-WA0074.jpg 131.28 KB


Beliau menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan memperkukuh inisiatif sedia ada dengan memperluaskan siri penerangan dan modul kesedaran di peringkat komuniti. 

Usaha ini akan dijalankan bukan hanya semasa Bulan Kebangsaan, tetapi sepanjang tahun bagi memastikan kefahaman terhadap simbol kenegaraan dapat dipupuk secara berterusan.

“Insya-Allah, melalui jaringan pegawai penerangan di setiap daerah, kita akan mempertingkat kesedaran tentang cara yang betul mengibarkan Jalur Gemilang dan mendidik masyarakat tentang makna sebenar patriotisme,” tambah beliau.

Langkah ini dilihat sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan semangat cintakan negara terus subur, terutama dalam kalangan generasi muda selaras dengan hasrat membina rakyat Malaysia yang lebih peka, bersatu dan berbangga dengan identiti nasional.


Tag :

Artikel Berkaitan