• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kepakaran Anak Negeri Potensi Majukan Ekonomi

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 29 April – Kerajaan Terengganu mengharapkan agar khidmat tenaga pakar anak Terengganu di luar negeri dalam membantu negeri untuk memacu sektor ekonomi berdaya saing.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, kemajuan yang mahu dibangunkan mestilah mempunyai prinsip untuk menambahbaikkan prestasi negara dalam bidang kepakaran masing-masing.

 “Kita di Terengganu tidak boleh bergantung hasil minyak semata-mata. Nak pelbagaikan ekonomi itulah fungsi tenaga pakar yang pengalaman untuk berkhidmat di sini.

"Mereka meneroka samada bidang-bidang dan kepakaran baharu, masih banyak lagi potensi bakat yang telah diasah di luar negara umpamanya untuk di bawa balik ke negeri ini.

“Kerajaan melihat golongan ini perlu diberikan peluang untuk pergi ke peringkat lebih jauh, tinggal lagi sekarang ini bagaimana kita boleh manfaatkan tenaga mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Radio Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.

Katanya, pihak kerajaan mengambil sikap terbuka dan mengalu-alukan para mahasiswa yang sudah berjaya dan berkhidmat di negara luar supaya pertimbangkan untuk berkhidmat di negeri Darul Iman.

“Kita tidak boleh memanfaatkan jika mereka sendiri tidak tekad bersedia untuk berkhidmat, orang ibaratkan seperti 'telur dengan ayam', siapa nak mulakan dulu,” ujarnya.

Dato' Yahaya mengesyorkan, golongan tersebut boleh terlibat langsung samada dalam sektor bidang kerajaan ataun pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Terengganu.

“Kalau pihak yang berkenaan merasakan mereka ingin menyumbang kepada pihak kerajaan, kerajaan mengambil sikap mengalu-alukan kehadiran  mereka serta penempatan mereka boleh dibincangkan," tambah beliau.