• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Keputusan Teruskan ECRL Tindakan Wajar - MB

Ahmad Samsuri menaiki bot meninjau kawasan Setiu Wetland. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail 
Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya terma-terma dalam kontrak perjanjian itu boleh dirunding semula adalah satu tindakan wajar.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat termasuk melibatkan perkara tersebut.


“Kita sedar ada masalah-masalah tertentu dalam projek ECRL ini yang menjadi punca kebimbangan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada kerajaan sama ada kerajaan negeri mahupun Pusat.

“Kepentingan projek tidak boleh dinafikan, tetapi apa yang penting sekarang ialah sekiranya ada kebimbangan yang wujud kita perlu berunding balik untuk meneliti dan mengkajinya dari pelbagai aspek.

“Termasuk dari segi kos, terma perjanjian, pelaksanaan projek serta kesan kepada masyakarat dan sebagainya kerana ini yang perlu kita perbetulkan bukan dengan membatalkan terus sesuatu projek,”ujarnya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Setiu Wetland dalam lawatan kerja sehari ke Setiu, semalam.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu sebuah portal berita bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan ECRL selepas perbincangan semula kosnya dan sejumlah RM20 bilion juga sudah dibayar.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat berikutan membuat pertimbangan yang sewajarnya berhubung perkara itu dan menjawab persoalan yang membelenggu rakyat negeri ini.

“Bagaimana kita hendak mengatasi masalah terma-terma dan sebagainya itu kita akan hadapi bersama antara kerajaan negeri dengan Pusat dan juga kontraktor dari negara China,” ujarnya.

Tag: