• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Akan Terus Perkasa Wanita Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri sedang mengukuhkan agenda pembangunan wanita yang bersesuaian dengan prinsip wanita mesra syariah melalui Dasar Wanita Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, langkah ini diambil untuk membolehkan kaum hawa keluar daripada kehidupan yang konvensional, merangkul potensi yang lebih luas, dan menyokong perkembangan holistik mereka.

“Kita mengakui Dasar Wanita Kebangsaan mempunyai satu dasar yang lengkap tetapi kita menambah baik lagi dengan menggarap Dasar Pembangunan Wanita negeri untuk menyesuaikan persekitaran yang ada di negeri Terengganu.

“Kita tengok dan lihat rata-rata wanita di negeri ini majoriti  muslim jadi kita memperkasakan agenda pembangunan nilai-nilai wanita muslim di dalam Dasar Wanita negeri Terengganu supaya kaum hawa dapat keluar daripada kepompong biasa sama ada sukan, ekonomi dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Hulu Terengganu berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh ADUN Manir dalam Sidang Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Sidang Belanjawan Terengganu) di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, Kerajaan negeri menubuh Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) sebagai satu unit tubuh bagi memperkasakan perlibatan wanita dalam pembangunan negeri dan negara.

“Beberapa strategi penerapan budaya ilmu dalam kalangan wanita Terengganu dan penjenamaan Syaidatina Aisyah sebagai ikon wanita Terengganu.
 
“Mendedahkan dan melengkapkan pelbagai kemahiran untuk meningkatkan taraf hidup wanita, transformasi budaya hidup wanita Terengganu kearah kesejahteraan serta penubuhan Pusat Pembangungan Wanita Terengganu.
 
“Dan juga strategi melahirkan wanita Terengganu yang berakhlak mulia serta nilai-nilai ketimuran dan integriti yang tinggi,” ujar Maliaman.

Tambah beliau, di peringkat Persekutuan, Jabatan Pembangunan Wanita yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat telah melaksanakan fungsi pembangunan wanita di negeri Terengganu. 

“Langkah ini dilaksanakan dengan memperkasakan sasaran kepada golongan wanita B40, ibu tunggal, usahawan wanita, dan pelajar sekolah serta universiti,” kata beliau.

Justeru itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk memperkasakan wanita dengan bertujuan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat.


Tag: