Kerajaan Bina Culvert Tambahan Tangani Banjir

KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Kerajaan negeri menyambung pemasangan 'culvert' sepanjang 15.24 meter (50 kaki) lagi sebagai langkah jangka pendek untuk mengurangkan risiko banjir termenung  di Kampung Rawai, Marang dekat sini beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahwanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arrifin Deraman berkata 'culvert' berkenaan selesai dipasang kelmarin dan air mengalir keluar dengan baik dari kawasan takungan di kampung tersebut.

"Air hujan termenung telah mengalir keluar dengan pemasangan 'culvert' berkenaan walaupun masalah banjir termenung di kampung itu masih tidak dapat diatasi sepenuhnya.

"Sekurang-kurangnya sebahagian masalah air hujan  bertakung di kampung Rawai itu sedikit sebanyak segera diatasi dan masalah penduduk di situ dapat dikurangkan," katanya dalam kenyataan media hari ini mengulas lanjut kejadian air hujan termenung di Kampung Rawai Marang baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, turut berlaku kejadian yang sama di Kampung Pak Madah, Kampung Alur Limbat, Kampung Tebakang dan Kampung Surau Titian Tok Hawa Marang apabila hujan turun dengan lebat dalam masa dua jam tanpa henti.

Katanya, tidak dinafikan antara punca kejadian adalah akibat dari kerja-kerja pembinaan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) yang masih berjalan dan memberi kesan sedikit sebanyak kepada pengaliran air banjir keluar dari kampung-kampung berkenaan.

"Jika pembinaan landasan kereta api selesai, kita akan dapat melihat permasalahan secara menyeluruh," ujarnya.

Kerajaan negeri katanya akan berbincang dengan ECRL bagi mengatasi masalah tersebut dan pihak pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat telah mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah penduduk di kampung-kampung terbabit.

Beliau berkata kerajaan juga telah berbicang dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Penghulu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung terbabit untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

 

 

 


Tag: