• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Diharap Teruskan Inisiatif Bantu Pengendali Hotel Hingga Jun 2022

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Sejak COVID-19 melanda Malaysia, industri pelancongan merupakan sektor paling teruk terjejas dengan menyaksikan banyak pemain industri itu sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan tenaga kerjanya.

Justeru itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu berharap kerajaan dapat  meneruskan beberapa inisiatif bantuan sehingga Jun 2022 untuk memastikan kelangsungan industri itu mengharungi cabaran pasca pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Suaibah Harun berkata industri pelancongan jelas memerlukan lebih banyak bantuan kerajaan dan mempunyai harapan besar supaya banyak perkara dipermudahkan demi kebaikan bersama.

Jelasnya, ini bersesuaian dalam usaha untuk menyokong pengusaha untuk bangkit semula selepas sekian lama terjejas.

 "Untuk memulakan kembali operasi pasti agak sukar, jadi ketika inilah kami amat memerlukan sokongan kerajaan seperti Program Subsidi Upah, diskaun bayaran bil elektrik air dan sistem pembetungan serta penambahbaikan sistem percukaian dalam industri pelancongan.

"Pengendali hotel sangat berharap kerajaan meneruskan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan jumlah pekerja yang sama di premis masing-masing.

"Inisiatif ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya hingga Jun 2022 atau ketika sempadan antarabangsa dibuka semula," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Suaibah berkata, sehingga kini terdapat 36 hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu.

Beliau yang juga Pengurus Besar Primula Beach Hotel berkata MAH Terengganu juga berharap kerajaan negeri, bank dan agensi berkaitan misalnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Indah Water Konsortium dapat memberi diskaun kepada mereka.

"Pengusaha hotel memerlukan bantuan khas kerana perniagaan mereka ketika ini bukan hanya terjejas teruk tetapi juga menanggung bayaran utiliti, cukai, sewa dan gaji pekerja sedangkan syarikat-syarikat tersebut masih melaporkan keuntungan besar. 

"Oleh itu, kami berharap diskaun yang bakal diberi dapat membantu kami di fasa pemulihan untuk membuka semula operasi," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga diharap meneruskan pengecualian cukai pelancongan sehingga 2023 serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk bilik dan makanan sehingga Jun 2022.