• 30 Nov 2020 | 14 Rabiul Akhir 1442

Kerajaan Kukuhkan Semula Industri Start-Up

Oleh : Ahmad Luqman Kamal

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Kerajaan Pusat akan membangun serta mengukuhkan semula industri 'start-up' (syarikat pemula teknologi) tempatan bagi memulihkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 dengan membuka peluang terutamanya kepada warga belia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, melalui Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), satu tinjauan telah dilaksanakan untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun 2020 bagi merancakkan semula inisiatif ini.

“Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah bersetuju memberi peruntukan bagi membiayai program pembiayaan Technology Start-Up Funding Relief Facility (TSFRF) dalam usaha membantu syarikat start-up teknologi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“TSFRF ini terbuka kepada semua syarikat start-up teknologi milikan rakyat tempatan atau tenaga kerja majoriti rakyat tempatan atau majoriti pendapatan dijana dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Dana RM100 juta untuk TSFRF ini adalah tambahan kepada peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi 'tech-funding' di bawah MOSTI iaitu Malaysia Debt Ventures Bhd, Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), Kumpulan Modal Perdana dan Malaysian Technology Development Corporation sebelum ini.

"Ia menjadikan keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada syarikat-syarikat start-up dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi berjumlah sebanyak RM315 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Amzad berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta bagi inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“NTIS dapat memberi manfaat yang besar kepada industri start-up negara dalam mengharungi cabaran ekonomi melalui pendekatan 'sandbox' (pengawalseliaan) untuk mempercepatkan penciptaan.

"Dan juga sebagai usaha menyediakan laluan pengkomersialan pantas bagi teknologi serta inovasi merangkumi semua peringkat pembangunan teknologi," katanya.

Kerajaan katanya, akan terus melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti melalui agensi di bawah MOSTI bagi menyokong kemampanan start-up secara atas talian serta mengembangkan kerjasama dan penglibatan daripada start-up antarabangsa.