• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Lancar RPP-2 Bagi Tingkat Pemuliharaan Zon Pesisir Pantai

SETIU, 14 Jun- Kerajaan Persekutuan melancarkan dokumen Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara ke-2 (RPP2) sebagai panduan perancangan pembangunan di zon pesisiran pantai.

RPP2 dilancarkan bagi menggantikan dokumen pertama pada tahun 2012 selepas diluluskan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada Oktober 2021.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelancarang dokumen berkenaan amat signifikan dan mempunyai impak yang cukup tinggi kerana ia memperincikan satu kanvas persekitaran yang berlaku di sepanjang lebih 3,800 km pesisiran pantai seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Malah, keberadaan kita di Terengganu ini juga sebenarnya cukup signifikan kerana Terengganu merupakan negeri yang mempunyai pantai berpasir paling panjang iaitu 123.5km atau 28 peratus daripada keseluruhan 440km pantai berpasir di seluruh kawasan kajian RPP2 ini.

“RPP2 ini memperincikan pendekatan yang boleh diambil dalam isu-isu berkaitan perubahan iklim seperti kenaikan paras air laut, hakisan pantai dan risiko bencana tsunami yang memerlukan satu mekanisma perancangan yang komprehensif dan berkesan di pelbagai peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran RPP2 di Laman Seri Rhu Sepuluh, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri selaku wakil rasmi Menteri Besar Negeri Terengganu; Dr. Alias Razak, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Dato’ Sri Dr. Ismail Abd Muttalib, Ketua Setiausaha KPKT; Datuk M Noor Azman Taib serta Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia; Town Planner (TPr)  Dr. Alias bin Rameli dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu; Ahmad Rizal Mamat.

Razak Merican turut menyatakan,  RPP2 merupakan satu dokumen yang cukup sarat dengan maklumat dan menjadi rujukan kepada dalam merencana persediaan, kesiapsiagaan, perancangan, kawalan dan tadbir urus pembangunan bandar dan kawasan penempatan yang berkesan dalam tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang berkaitan kesan-kesan yang terhasil daripada kejadian kenaikan paras air laut, hakisan pantai serta geo bencana yang lain.

“RPP2 ini buat pertama kalinya juga memperkenalkan satu indikator penting iaitu INDEKS KERAPUHAN PANTAI NEGARA ATAU NATIONAL COASTAL VULNERABILITY INDEKS (NCVI).

"Malah, suka untuk saya berkongsi bahawa penyediaan indeks ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang pertama menyediakan NCVI bagi keseluruhan kawasan persisiran pantai negara.

“Dengan ini, saya ingin mengajak semua pihak agar menjadikan RPP2 ini sebagai satu kanvas pemetaan dalam sebarang pemajuan dan aktiviti yang melibatkan pesisiran pantai,” katanya.

 


Tag: