• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Akan Salur Peruntukan Kepada Sekolah Agama

Satiful Bahari Mamat
Kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan kepada 200 sekolah agama di negeri ini dalam usaha memartabatkan sekolah agama setanding dengan pusat pendidikan yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penyaluran peruntukan tersebut adalah satu daripada pelaksanaan manifesto Kerajaan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke - 14 ( PRU14 ) lalu. 

"Peruntukan yang akan disalurkan meliputi kos pengurusan bagi setiap sekolah agama supaya ianya dapat beroperasi dengan lebih lancar," katanya selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa kebakaran di Felda Kerteh Tiga, Kemaman, semalam.

Katanya, beberapa penambahbaikan dari segi kandungan sukatan pembelajaran juga akan dilaksanakan dalam melahirkan lulusan sekolah agama yang berkualiti untuk pasaran luar setelah menamatkan pengajian mereka.

"Kita juga sekarang sedang merancang untuk.menggabung jalinkan, contohnya pondok dengan kitabnya dan sekarang kita cuba untuk gabung jalinkan dengan kemahiran.

 "Ini bermakna kita akan mengambil kira persiapan setiap pelakar untuk dunia dia dan di samping pengajian ilmu agama untuk akhirat  supaya seimbang antara dua kehidupan bagi setiap pelajar," katanya.

Satiful Bahari juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, usaha yang dilakukan itu adalah bagi memastikan institusi tersebut  tidak dipandang rendah oleh sesetengah pihak kerana ianya merupakan satu tempat yang melahirkan golongan tahfiz dan juga membawa imej Islam.

 " Ada sesetengah pihak yang memandang rendah kemampuan pelajar dari sekolah agama ini dan mereka perlu tahu ada lulusan dari sekolah agama yang kini  memegang jawatan tertinggi dalam pelbagai sektor pekerjaan dan ini membuktikan pelajar lulusan sekolah agama setanding dengan pelajar sekolah yang lain," katanya.

Baginya, cadangan seorang bekas menteri supaya kerajaan menutup semua pusat tahfiz di negara ini kerana dianggap mengeksploitasi pelajar untuk kepentingan individu adalah tidak berasas dan ianya hanya bersifat pandangan peribadi.

"Kita perlu tahu pendidikan pertama pada zaman Rasullah pendidikan pertama selepas Iqra' ialah membaca al-Quran dan semua sahabat peringkat awal menghafaz al -Quran. Di dalam dunia ini tiada satu  kitab yang dihafal oleh manusia dengan bilangan yang ramai adalah al-Quran.

 "Jadi kita di peringkat kerajaan negeri seperti sekolah Imtiaz pada masa sekarang sudah beranjak di mana bukan sahaja dikenali sebagai satu pusat yang hanya mengajar ilmu agama, tetapi ianya sudah mengajar berkenaan kemahiran sains di mana ramai lulusan dari sekolah tersebut sudah ramai yang menyambung pelajaran di dalam bidang perubatan,"katanya.

Menurut Satiful Bahari, cadangan yang diutarakan itu adalah semata-mata bersifat peribadi dan pihaknya juga turut menggalakkan institusi swasta serta orang ramai supaya turut menyumbang bagi membantu menaikkan martabat institusi pendidikan di Negeri Terengganu.

Tag: