• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Ambil Serius Isu Solat

KUALA TERENGGANU, 8 oktober - Kerajaan negeri mengambil serius teguran rakyat dalam memastikan setiap rakyat yang hadir dalam setiap program tidak mengabaikan kewajipan menunaikan solat fardu.

Pengerusi Jawatankuasa, Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri sangat menghargai akan kecaknaan pihak terbabit yang prihatin dan memberikan pandangan agar berlaku penambahbaikan untuk setiap program yang akan diadakan selepas ini.

Ujarnya, isu mula timbul apabila wujud dakwaan segelintir pengunjung yang hadir ke program Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan baru-baru ini tidak menunaikan solat

"Dengan adanya isu seperti yang dibangkitkan oleh saudara Sukri Sulaiman itu, pihak kerajaan negeri melihat ia suatu perkara yang serius, bahkan pihak kerajaan akan mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang kembali.

"Di samping pada penggal ini usaha melalui portfolio EXCO Dakwah, Penerangan dan Pelaksanaan Syariah akan mengambil pendekatan (memperkasakan dakwah) melalui penerapan penghayatan dan pegangan 'Indahnya Hidup Bersyariat' bagi mendokong hasrat dalam mencapai maskud slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sikap sebilangan besar pengunjung yang kelihatan mendirikan solat walaupun dalam keadaan sesak dengan lautan pengunjung sewajarnya dijadikan contoh.

"Sikap individu rakyat Terengganu seperti ini amatlah patut diberi pujian kerana memahami akan tanggungjawab sebagai seorang muslim menunaikan kefarduan solat tanpa mengharapkan alternatif daripada mana-mana pihak dalam menunaikan kewajipan solat itu.

"Tempat wuduk dan ruangan solat sememangnya sudah ada disediakan bagi tujuan kemudahan kepada para pengunjung yang hadir bagi program tersebut.

"Bahkan ia suatu kelaziman yang berlaku dari sesi penggal yang lalu terutama bagi memberi kemudahan dalam program-program seperti ini contohnya penganjuran perlawanan bola sepak," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sejak penggal yang lalu lagi kerajaan Terengganu telah menerapkan kesedaran rakyat mengenai kewajipan menunaikan rukun Islam yang kedua tersebut.

"Bagi menghidupkan solat fardu secara berjemaah di lokasi program terutamanya kalangan anak muda, Namun program TATU yang berlangsung baru ini ada sedikit terlepas pandang oleh pihak kerajaan untuk mengambil perjalanan secara berfokus dalam perkara ini.

"Dengan harapan para pengunjung sedia memahami apa yang sepatutnya masing-masing lakukan dalam menunaikan tanggungjawab kewajipan solatan ke atas setiap individu muslim. Bahkan sebelum ini pengunjung mampu untuk menguruskan pergerakan mereka dalam menunaikan kewajipan solat.

"Terutama pada ruangan stadium ketika perlawanan bola sepak diadakan di situ," katanya.