• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Arah Agensi Terlibat Gerakkan Aset Bantu Kawasan Terjejas Banjir

KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan negeri telah mengarahkan semua agensi berkaitan segera menggerakkan semua aset di kawasan terjejas banjir.

Timbalan Pengerusi Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata ia bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera.

"Saya telah mengarahkan agensi berkaitan untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, susulan banjir yang sedang  melanda di beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Ini termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di PPS," ujarnya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, berkata secara umumnya, hujan turun menyeluruh di Kawasan Negeri Terengganu bermula awal pagi tadi.

Katanya, penerimaan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200mm di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 100mm di sekitar daerah Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang.

"Setakat pagi ini, beberapa kawasan telah dinaiki air antaranya Kampung(kg) Tok Adis, Jalan kamaruddin, Jalan Pusara, Rhu Rendang, Pasar Payang, Kg. Che Kundur, Gong Badak, Merchang, Jalan Kg Paloh, Jalan Sultan Omar, Tok Jembal.

"Sehingga jam 12 pagi, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah di buka iaitu Dewan Serbaguna Tok Jembal(54 keluarga, 124 mangsa), Dewan Flat Batin Perdana( 4 keluarga 25 mangsa dan SK Chendering (9 keluarga 35 mangsa)," ujar beliau.

Tambahnya lagi, tiga buah sekolah iaitu SK Losong, SK Tok Dir dan SK Seri Budiman terpaksa ditutup kerana dinaiki air setinggi 1 kaki (0.3M), ditutup dan semua guru dan pelajar melalui proses PDPR.

Dalam masa sama, pihak JPNT turut memantau banjir di sekolah berkenaan dan juga sekolah-sekolah lain.

Sementara itu, Hanafiah menyarankan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan berpindah segera sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka.

"Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh arahan pihak berkuasa

"Saya minta mereka yang berada di kawasan yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.Jaga keselamatan diri dan keluarga," ujarnya.

TNB dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai supaya menutup semua suis utama di premis masing-masing sekiranya air mula meningkat dan diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Mereka juga digalakkan untuk menghubungi TNB CareLine menerusi talian 15454 atau menerusi Facebook TNB Careline jika terdapat pepasangan TNB yang terputus atau tumbang bagi tindakan segera, demi keselamatan awam selain terus memantau keadaan setiap pepasangan dari semasa ke semasa.