• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Belanja RM358,300 Untuk 499 Pelajar Cemerlang

Ahmad Razif bergambar dengan sebahagian pelajar cemerlang di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali ke-39 Dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) membelanjakan sebanyak RM358,300 untuk Anugerah Pingat Emas dan hadiah kecemerlangan kepada 499 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Agama Malaysia (STAM) 2017.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ganjaran tersebut sebagai menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.

 “Diharap inisiatif ini akan menjadi motivasi untuk mereka terus meraih pencapaian cemerlang sekaligus mengangkat nama negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita mahu anak-anak Terengganu berani mencabar kelaziman dan mencipta lebih banyak cerita kejayaan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali ke-39 Dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A. Latiff Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah Yayasan Terengganu Ishamudin Hashim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.


Pada majlis itu, dua pelajar telah terpilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu iaitu Muhammad Khairul Azri Mohd Khalid daripada Sekolah Menengah Imtiaz YT Besut dan Muhammad Syauqellah Razali daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek.

Kedua-duanya yang merupakan pelajar terbaik negeri ini menerima insentif wang tunai RM5,000, sebuah medal pingat emas, sehelai blazer, sebuah laptop dan sijil penghargaan.
Sementara itu seorang pelajar menerima Anugerah Khas YT iaitu pelajar kelainan upaya Ahmad Izzat Sohame@Suhaimi daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong yang menerima wang tunai RM2,000 beserta sebuah laptop.
Antara anugerah lain yang turut diberikan adalah Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2017 (Semua A+) kepada dua penerima yang mendapat RM500 dan laptop, Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2017 kepada dua penerima yang memperoleh RM600 serta laptop dan Anugerah Kecemerlangan SPM 2017 (Semua A) kepada 357 penerima yang mendapat RM500 setiap seorang.
Selain itu tiga lagi kategori penghargaan juga diberikan iaitu Anugerah Kecemerlangan STPM 2017 2017 (Semua A) kepada 100 orang yang mendapat RM600 setiap seorang, Anugerah Kecemerlangan STAM 2017 (Mumtaz) kepada 26 orang yang meraih RM600 setiap seorang dan Anugerah Sekolah Terbaik kepada sembilan sekolah yang masing-masing menerima RM10,000.

Tag: