SETIU, 30 November - Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa kebajikan pekerja ladang FGV tidak akan diketepikan ketika negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan di 10 ladang seluruh negeri hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memahami kebimbangan pekerja yang terlibat namun menegaskan sebarang kesan terhadap mereka bergantung kepada keputusan majikan, iaitu FGV.

"Jadi buat masa sekarang ni kita pun tak tahu apa perancangan FGV kepada pekerja-pekerja mereka.
"Biarlah bila sampai masanya nanti kita akan maklumkan. Tapi dalam penyusunan kita tentunya, kebajikan pekerja adalah keutamaan kita," katanya kepada media ketika ditemui hari ini.

"Kerana kita tidak mahu ada sesiapa yang menjadi mangsa di sebalik apa yang kita buat untuk mengembalikan setiap inci hak negeri, kita tidak menzalimi sesiapa," katanya.

Tambahnya lagi, tempoh 40 hari yang berakhir pada 29 November 2025 sepatutnya menjadi ruang terakhir rundingan antara kerajaan negeri dan pengurusan tertinggi FELDA yang berlanjutan sejak lebih 40 tahun.
"Tetapi sehingga tamatnya tempoh 40 hari, FELDA gagal untuk memberikan respon terhadap tuntutan kerajaan negeri.
"Maka sebagaimana yang telah dipersetujui bukan hanya di pihak kerajaan negeri tapi juga di pihak FELDA, kita akan menguatkuasakan tindakan undang-undang," tegas beliau.