• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Jumpa Pelabur China Bincang REE di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Januari – Kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan bersama para pelabur daripada China bagi membincangkan mengenai Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata mereka merupakan pelabur yang telah mempunyai hubungan startegik bersama Malaysia sebelum ini.

Menurutnya, beberapa pelan pembangunan telah diutarakan oleh mereka buat negeri Terengganu. 

“Semoga perbincangan ini dapat membawa kemajuan dan kestabilan buat negeri ini,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Terdahulu, berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang telah dikenalpasti terdapat di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 lepas.

Katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengan perlombongan industri berkenaan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: