KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu melaksanakan intervensi pembelian buah-buahan bermusim bagi membantu pekebun menangani masalah lambakan hasil pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, perancangan awal dilaksanakan sejak Jun 2026 menerusi lawatan ke kebun bagi menjangkakan pengeluaran berdasarkan pemerhatian terhadap penghasilan bunga dan putik buah khususnya durian, duku Terengganu dan tembikai.
Menurut beliau sehingga 18 Oktober lalu, FAMA Terengganu telah melaksanakan intervensi pembelian sebanyak 123.96 metrik tan duku bernilai RM195,376, durian (69.2 metrik tan) bernilai RM322,164 dan tembikai (383.722 metrik tan) bernilai RM311,722.53.
"Bagi menangani lebihan pengeluaran durian, FAMA Terengganu turut merancang memproses hasil berkenaan menjadi pes dan tempoyak menerusi pusat pemprosesan durian bertaraf pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) di FAMA Daerah Besut.
"Selain itu, aktiviti jualan promosi durian turut dilaksanakan menerusi pusat operasi FAMA Kuala Terengganu, usahawan di beberapa pasar tani serta pejabat kerajaan terpilih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, lebihan hasil pengeluaran bagi duku Terengganu pula katanya, FAMA turut memperkukuh pengurusan logistik dan persediaan penghantaran hasil berkenaan ke 42 pusat operasi FAMA di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Bagi komoditi tembikai pula, lebihan pengeluaran dirancang untuk dihantar ke pusat operasi FAMA Dengkil, Selangor bagi tujuan pengedaran kepada pemborong yang mengeksport hasil berkenaan ke luar negara selain membekalkan ke pusat operasi FAMA di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam usaha memperluas kaedah pemasaran katanya, Jabatan Pertanian Terengganu turut bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) bagi memasarkan duku Terengganu untuk diproses menjadi cuka duku di kilang milik agensi berkenaan di Kubang Kerian, Kelantan.
Katanya, usaha itu merupakan susulan kursus pembuatan cuka duku yang diadakan di Makmal Industri Asas Tani (IAT), KPN Ajil bersama tenaga pengajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 11 September 2024, diikuti lawatan ke kilang pemprosesan cuka duku pada 7 November tahun sama.
"Fasiliti dan mekanisasi kilang PKPNK telah lengkap serta memperoleh pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Halal bagi produk cuka berasaskan buah-buahan termasuk rambutan, duku dan dokong," katanya.
Dalam pada itu ujar beliau, Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan akan terus mengingatkan pekebun serta pengumpul hasil supaya mengikat perjanjian ladang kontrak sebelum musim pengeluaran bermula.