• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Lancar Kenyir Geopark

KUALA TERENGGANU, 9 November- Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pelancongan terus memperkasa kempen promosi Beautiful Terengganu menerusi penyertaan di World Travel Market (WTM London) 2023 yang berlangsung selama tiga hari berakhir 8 November lalu di ExCel Hall, London.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengetuai delegasi itu berkata, penyertaan Kerajaan Negeri diharap mampu melonjakkan lagi imej Terengganu sebagai destinasi percutian yang mampu menawarkan pelbagai keunikan dan keindahan Malaysia.

“Pada WTM London kali ini, Kerajaan Negeri turut mempromosikan produk-produk pelancongan eko yang terdapat di Terengganu selari dengan tema kempen promosi yang dibawa Tourism Malaysia, “Discover the charms of Terengganu’s Nature”.

“Selain melancarkan logo Kenyir Geopark sebagai usaha penjenamaan promosi destinasi pelancongan eko tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, penjenamaan semula kluster pelancongan iaitu Tasik Kenyir kepada Kenyir Geopark diharap dapat memberikan dimensi baharu pelancongan dalam mempromosikan Kenyir Geopark sebagai destinasi pelancongan eko terkemuka dalam negara.

“Diiktiraf secara rasmi sebagai tapak geopark pada 31 Mei lalu, Kawasan Geopark Kenyir berkeluasan 244,900 hektar merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau, 15 kawasan geotapak antaranya fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah, penara Gunung Gagau. 

“11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi, serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah. Termasuk Gua Bewah sebagai tapak geoarkeologi terpenting dalam pembentukan geopark,” jelasnya.

Untuk rekod, seramai 2.8 juta pelancong telah hadir ke Terengganu sepanjang tahun ini (bermula Januari hingga Ogos 2023) , manakala statistik kedatangan pelancong tempatan ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian dari tahun 2020 sehingga Ogos 2023 adalah seramai 431,656 pelancong. Sejumlah 96,298 pelancong asing turut direkodkan hadir kedua pulau tersebut pada tempoh sama.