Kerajaan Negeri 'Menuntut' Dengan Tuan Guru Pondok
KUALA TERENGGANU, 19 April - Ziarah Ramadan diatur bagi mendekati dan mendapatkan pandangan tuan-tuan guru pondok di Terengganu sebagai salah satu medium semak dan imbang kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri sangat menghargai dan mengalukan perbincangan bersama mereka demi manfaat rakyat.
"Kami atur program ziarah Ramadan ke rumah tuan-tuan guru pondok di Terengganu. Alhamdulillah, saya bersama YB (Yang Berhormat) Ustaz Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan) serta wakil-wakil jabatan berkesempatan berkunjung dan bertemu mesra dengan Tok Ayah.
"Tok Ayah atau dikenali dengan gelaran Ayah Ku ialah Tuan Guru Pondok Al Ansar Kenanga Wakaf Tapai yang juga salah seorang guru Ustaz Azhar Idrus (UAI).
"Kami sangat teruja mendengar penjelasan Tok Ayah tentang politik, fiqh, dakwah dan pendidikan Islam.
"Saya meneliti kesungguhan Tok Ayah dan keprihatinan tentang perkembangan semasa. Tok Ayah agak komited dengan penyatuan ummah.
"Jelas Tok Ayah, kita fokus untuk menyatukan ummah dan bertolak ansur dalam kepelbagaian pendapat dan jangan cepat menyalahkan orang lain," katanya dalam satu status di Facebook rasmi beliau, semalam.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said serta wakil Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT).
Dalam perkembangan sama, Mohd Nor turut meminta komen Tok Ayah tentang Kerajaan Terengganu.
"Saya mohon Tok Ayah komen tentang kerajaan. Tok Ayah sebut teruskan kebaikan dan bersikap terbuka.
"Sesiapa sahaja boleh buat kesilapan tetapi yang penting kesepakatan," ujarnya.