lightning-solid
Berita :
Nafuzi Mahu TFC Bangkit, Perbaiki Kesilapan
Nafuzi Mahu TFC Bangkit, Perbaiki Kesilapan
Ahmad Zaeem Zainudin
10 jam yang lepas
92

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Mohd Zain mahu pasukannya bangkit dan memperbaiki kelemahan selepas tewas 0-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Nafuzi berkata, kekalahan tersebut memberikan banyak perkara untuk dinilai dan diperbaiki bagi meningkatkan prestasi pasukan pada perlawanan akan datang.

"Malam ini kita tewas kepada pasukan yang kuat, yang baguslah, Selangor.

"Saya rasa banyak benda yang kita dapat daripada perlawanan ini untuk kita tingkatkan lagi kita punya pasukan di masa hadapan," katanya.

Menurutnya, TFC masih dalam proses membentuk pasukan dan memerlukan masa untuk membina keserasian, namun beliau yakin dengan kualiti yang dimiliki pemainnya.

"Kita tahu pasukan baru dibentuk dan mungkin memerlukan masa lagi. 

"Tapi saya yakin dengan kualiti yang pasukan ada, pemain-pemain kita boleh meningkat di masa-masa hadapan," jelasnya.

Mengulas persembahan anak buahnya, Nafuzi berkata TFC menunjukkan perubahan positif pada babak kedua.

"Saya rasa dari segi perubahan permainan, separuh masa kedua kita nampak perbezaan ketara daripada separuh masa pertama.

"Kita lebih agresif, tempo lagi cepat lagi baik dan saya rasa (ada) beberapa peluang untuk kita menjaringkan gol," ulasnya.

Terdahulu, TFC memiliki beberapa peluang untuk membuka jaringan sebelum diikat dengan keputusan 0-0 pada babak pertama.

Selangor FC kemudian membuka jaringan menerusi Kay Sheku Tejan pada minit ke-58 sebelum Chrigor Flores Moraes menggandakan kelebihan empat minit kemudian.

Chrigor sekali lagi menjaringkan gol pada masa tambahan, sekaligus melengkapkan kemenangan 3-0 Selangor FC.

Selepas ini, TFC dijadualkan untuk berdepan Brunei Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM) secara bertandang pada 1 September.

Nafuzi mahu pasukannya menggunakan tempoh persiapan untuk kembali mendapatkan momentum.

"Kita tahu dengan keadaan Brunei, sekarang pun dari segi pasukannya lebih baik daripada musim lepas.

"Moral pemain mungkin agak 'down' tetapi kita tak boleh berputus asa, kita kena bangkit balik untuk permainan seterusnya ini.

"Kita kena tengok apa yang perlu kita buat untuk persediaan kita untuk bertemu dengan Brunei nanti," katanya.


Artikel Berkaitan