• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Perhebat Program Perundangan Syariah

KUALA NERUS, 16 November- Kerajaan negeri akan memperhebat program berbentuk penerangan di semua peringkat dalam usaha memberi kefahaman mengenai perundangan syariah kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya diterjemahkan melalui penganjuran program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang julung kali diadakan. 

"Antara objektif wacana ini adalah untuk memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah semasa kepada masyarakat.

"Selain mengajak umat Islam untuk bersatu dalam memberi sokongan dan bersolidariti dalam isu pencabaran undang-undang syariah yang sedang berlaku di Kelantan ketika ini, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang disempurnakan oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus di sini, hari ini.

Menurutnya, negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) akan memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah dalam skala yang lebih besar selepas ini.

"Cabaran yang berlaku terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah menggubal dan meluluskan enakmen jenayah syariah memberi implikasi yang besar kepada negeri yang lain.

"Enakmen di Kelantan juga mempunyai banyak persamaan dengan Terengganu dan apa sahaja yang berlaku nanti (keputusan Mahkamah Persekutuan) akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain khususnya di Terengganu," katanya.

Pada program wacana tersebut, lebih 1,000 peserta terdiri dari penjawat awam, pegawai masjid, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir yang menampilkan tiga pembentang dalam mengupas isu cabaran terhadap undang-undang syariah yang berlaku di negara ini.

Pembentang yang dijemput ialah Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz;  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pembangunan, Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang Negeri Kelantan, Wan Rohimi Wan Daud serta Peguam Bela dan Peguam Cara iaitu Sallehudin Harun.

Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, solidariti pada hari ini akan memberikan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak yang sentiasa berusaha mengganggu gugat undang-undang Islam di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.

"Program ini akan digerakkan ke kawasan-kawasan lain dan kita mempertimbangkan penganjuran acara lebih besar seperti Munajat Perdana yang dilakukan kerajaan Negeri Kelantan," katanya.