• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja

KUALA TERENGGANU, 5 April – Kerajaan Terengganu akan meneruskan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, cadangan tersebut tercetus hasil sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setelah 936 orang berjaya mendapat temuduga kedua dalam Karnival Penjana kelmarin.

“Insya-Allah dengan Perkeso, kerajaan negeri akan cuba bantu mereka yang sudah sebelah kaki untuk dapat kerja, kalau dapat lagi separuh (peserta) mungkin akan tolong 1,500 orang mendapat pekerjaan.

“Perkeso boleh cadangkan untuk panggil majikan bagi pemusatan kerja temuduga, alternatifnya kita boleh diteruskan padanan kerja secara bentuk maya, ia boleh ditingkatkan kerana data pencari kerja sudah ada.

“Pihak kami melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) akan bersedia untuk menyokong usaha sebegini jika dapat direalisasikan,” jelasnya semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.

Perkara sedemikian turut disuarakan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusman yang menceritakan pelbagai inisiatif karnival kerja dijalankan pihaknya dalam bentuk fizikal dan maya.

“Jika hasrat ini diteruskan di Terengganu, pihak kami boleh aturkan sokongan kewangan dan tenaga dengan setiap program temuduga kerja pada setiap suku tahun,” jelasnya.

Mengulas lanjut berkenaan usaha Perkeso berkenaan temuduga secara maya, ia melibatkan dalam lingkungan 40 majikan dengan satu pegawai Perkeso mendidik beberapa calon untuk ditemuduga.

“Setiap hari, sebarang kekosongan akan dipromosikan dalam portal Perkeso, manakala setiap minggu pihak kami adakan temuduga kecil bersama majikan dan pekerja (mengikut jadual dan kekosongan),” ulasnya.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari https://www.myfuturejobs.gov.my/ atau laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my.