• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Perlu Tangani Isu Pencerobohan Nelayan Asing

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Kerajaan negeri disaran mencari jalan penyelesaian berkaitan isu pencerobohan nelayan asing yang menggugat kedaulatan negara serta mengancam keselamatan para nelayan. 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, isu pencerobohan perairan serta penjarahan khazanah laut telah menyebabkan ketirisan hasil laut dalam sehingga mencecah RM4 bilion setahun kepada industri perikanan.

“Ini sudah semestinya merugikan negara dan negeri setelah pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan sumber perikanan marin,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu baginda bertitah, teknologi kebendaan atau Internet of Things (IoT) dalam sektor pertanian diharap dapat dimaksimumkan penggunaannya.

“Ini bagi memastikan pengeluaran hasil sektor pertanian secara optimum dengan impak yang minima akibat perubahan iklim dan cuaca.

“Sektor pertanian telah mengalami perubahan daripada pertanian tradisional kepada pertanian moden melalui penggunaan serta adaptasi teknologi dalam kaedah penanaman, penternakan dan perikanan di Negeri Terengganu. 

“Ketidaktentuan iklim dengan perubahan cuaca ekstrem memberi kesan terhadap produktiviti pengeluaran hasil pertanian,” titah baginda.