• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Peruntuk RM300 Ribu Naik Taraf Imej Pelancongan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 27 November -Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf fasiliti untuk meningkatkan imej pelancongan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata ia bertujuan bagi penawaran perkhidmatan pelancongan yang lebih berkesan dan interaktif kepada pengunjung dan pelancong.

Katanya, usaha tersebut akan diteruskan pada tahun 2024, dengan penumpuan diberikan kepada penambahbaikan dan pembaikian infra pelancongan sedia ada di setiap daerah.

“Ia bagi mengekalkan keindahan dan kemudahan pelancongan sedia ada.

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM50,000 bagi membaik pulih kaunter hadapan di Pusat Penerangan Pemuliharaan Penyu (TTIC) di Rantau Abang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah Razali, dari sudut promosi pelancongan pula, usaha telah dijalankan bagi menjenamakan Pantai Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan yang sinonim dengan pendaratan penyu.

“Promosi itu berkaitan kempen pelancongan Penyu Terengganu di bawah jenama 'Terengganu Turtle Tourism' di pelbagai platform seperti media massa, cetak, elektronik dan media sosial.

“Manakala, Pantai Batu Pelanduk telah dikenal pasti sebagai antara Geotapak yang berpotensi dalam usaha pemuliharaan sumber geologi dan landskap," katanya.

Di samping katanya, ia bagi membolehkan orang ramai memahami kepentingan sumber warisan geologi.

Tambahnya, antara usaha promosi yang turut dilaksanakan adalah seperti dengan mengetengahkan Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk, Pantai Teluk Bidara dalam 'fun map' pelancongan negeri Terengganu.

"Ia  bertujuan menonjolkan lagi destinasi tersebut kepada pelancong, atau dalam erti lain 'product visibility'.

"Sekali gus, mempromosikan pantai-pantai tersebut melalui penghasilan video pendek sebagai jajaran 'scenic drive'.

"Insha-Allah, kita akan pastikan semua pantai selamat untuk mandi dan beriadah mengikut musim dan sop pelancongan kepada pelancong dan mempertahankan papan tanda," ujarnya.