• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Peruntuk RM540 Ribu Bagi Pembangunan Unjam

DUNGUN, 22 Mei - Kerajaan negeri melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu memperuntukan RM540,000 bagi projek melabuhkan 794 unjam sejak 2018 hingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha dijalankan secara berterusan itu merupakan solusi setelah diadakan program dialog dengan seluruh nelayan di negeri ini.

"Pada waktu itu ada tiga isu besar telah dinyatakan, pertama perairan laut Terengganu kekurangan ikan terutamanya Zon A sudah berada pada kod amaran warna merah yang menunjukkan hasil sangat kurang, kedua isu nelayan pantai tidak memiliki lesen dan ketiga berlaku pencerobohan nelayan asing atau bot pukat tunda.

"Setelah mengenal pasti masalah utama berkenaan kita ambil jalan untuk menyelesaikannya, termasuk memperkayakan hasil laut dengan melabuhkan unjam yang berfungsi sebagai pengumpul ikan bagi memberikan peluang kepada nelayan untuk mendapat hasil tangkapan yang tinggi.

"Unjam yang dilabuh tidak melebihi lima batu nautika dari pantai ini telah mendatangkan manfaat kepada nelayan pantai yang menggunakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan seperti pukat hanyut, bubu dan alatan mengail,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Unjam dan Bantuan Kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur bagi Daerah Dungun, di Pengakalan Rantau Abang, semalam.

Katanya, sebanyak 37 unit unjam telah dilabuhkan di daerah ini bagi memberi manfaat kepada 150 orang nelayan pantai.

Sementara itu Dr Azman juga berkata,kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 1.8 juta bagi membantu nelayan pantai, nelayan darat dan pengusaha akuakultur.

"Bantuan peralatan bagi tahun 2023, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada nelayan darat merangkumi peralatan 'fish finder', peralatan mengail dan tong insulasi (100 liter) kepada 468 orang nelayan pantai di seluruh daerah di Terengganu termasuk pada seramai 78 orang bagi Daerah Dungun.

"Peruntukan kepada nelayan darat sebanyak RM80,000 pula meliputi set pukat tangsi dan tong insulasi (75 liter) diserahkan kepada 140 orang nelayan darat seluruh negeri Terengganu.

"Manakala bantuan input akuakultur sebanyak RM700,000 untuk perolehan makanan rumusan, benih ikan, pukat. set pengudaraan (genset), peralatan penambahbaikan ladang, premis dan tangki sawah kepada 16 orang pengusaha di Daerah Dungun,"katanya.