• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Sasar 200,000 Pengunjung Ke Karnival Beautiful Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 200,000 pengunjung ke Karnival Beautiful Terengganu 2022 dalam tempoh tiga hari program itu diadakan bermula 17 Mac ini di Pulau Poh, Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, karnival tersebut merupakan usaha kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri untuk merancakkan kembali sektor pelancongan domestik. 

Katanya, ia juga merupakan platform bagi menghimpunkan kepelbagaian produk pelancongan dari seluruh daerah yang akan dipaparkan secara langsung kepada pengunjung. 

"Pelbagai acara menarik menanti pengunjung, antaranya pertunjukan malam berlampu yang bakal menerangi Tasik Kenyir, modular pameran agensi, jualan pakej pelancongan istimewa ditawarkan pemain industri.

"Selain itu, terdapat juga persembahan kebudayaan, pertandingan memasak ikan baung, pertandingan houseboat dan speedboat berhias, pakej Kenyir Trail, permainan sukan rakyat.

"Acara utama pada malam perasmian pula adalah pertunjukan Kenyir Aqua Light and Sound, pertunjukan ukiran laser Tasik Kenyir, pancutan air berirama dan pelbagai lagi," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran program Karnival Beautiful Terengganu 2022 di Bilik Mesyuarat Jabatan Pelancongan Negeri, hari ini.

Tambah Ariffin, penganjuran Karnival Beautiful Terengganu diharap dapat menjadi satu acara yang dapat menarik kunjungan orang ramai dan seterusnya mempromosikan Kempen Visit Beautiful Terengganu. 

“Penganjuran karnival ini sekaligus bakal menonjolkan lagi Tasik Kenyir sebagai destinasi eko pelancongan yang terunggul bukan sahaja di Terengganu, tetapi juga di peringkat nasional.

"Malah penganjuran karnival ini turut diharap dapat menyumbang kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi rakyat negeri melalui impak aktiviti rantaian dari sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan," jelasnya.

Katanya, program melalui kolaborasi lebih daripada 20 jabatan dan agensi itu turut menyasarkan pelbagai golongan pengunjung, termasuk belia, pelancong dalam dan luar negeri, pelajar,  penduduk tempatan dan mereka yang sudah berkeluarga bagi memeriahkan karnival.